JITRA – Ibu bapa kepada kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Norwahidah Abdul Hamid, 28, yang maut dalam kebakaran di Sepang, Selangor pada 28 Januari lalu layak menerima faedah caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Abdul Hamid Yunus dan Zaiton Ismail masing-masing berusia 57 tahun menerima faedah pengurusan jenazah sebanyak RM2,000 selain bakal mendapat faedah pencen penakat sebanyak RM139.58 seorang yang akan dibayar secara bulanan sepanjang hayat.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, Skuad Perkeso Prihatin yang membuat semakan mendapati Allahyarham yang merupakan kakitangan JPN sejak tahun 2012 pernah membuat kerja sambilan di sebuah pasaraya besar di Lembah Klang.
“Allahyarham mempunyai caruman Perkeso sehingga Mac 2018, justeru melayakkan keluarga yang ditinggalkan menerima faedah pengurusan jenazah dan faedah pencen penakat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan cek faedah pengurusan jenazah berjumlah RM2,000 kepada Abdul Hamid dan Zaiton di rumah nenek Allahyarham di Kampung Baru Tepi Laut, Ayer Hitam dekat sini hari ini.
Hadir sama ialah Pengarah Perkeso Kedah, Mamsor Abdul Manaf dan Pengarah Perkeso Perlis, Mohd. Asri Mohd. Rasid.
Dalam pada itu, Abdul Hamid melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada Perkeso apabila dia dan isteri layak menerima faedah daripada Perkeso.
“Pihak keluarga tahu arwah pernah melakukan kerja sambilan ketika dia bertugas di JPN,” katanya.
Ketika ditanya berhubung kes kematian Norwahidah yang diklasifikasikan sebagai kes bunuh, Abdul Hamid enggan mengulas mengenai perkara tersebut.
Kosmo! Online sebelum ini semalam melaporkan kematian pasangan Wan Baharul Nizam Wan Bakar, 35, dan Norwahidah yang maut dalam kebakaran di sebuah rumah teres di Taman Desa Vista, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang pada 28 Januari lalu diklasifikasikan sebagai kes bunuh.-K! ONLINE











