Tahun Baru Cina: SWM beroperasi seperti biasa - Utusan Malaysia

Tahun Baru Cina: SWM beroperasi seperti biasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU 3 Feb. – SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) mengumumkan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di negeri ini akan beroperasi seperti biasa sempena sambutan perayaan Tahun Baru Cina pada minggu ini.

Jadual kutipan di semua 15 kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak berubah bagi menampung keperluan dan penjanaan sisa pepejal sempena sambutan perayaan itu.

Pengurus SWM Environment Wilayah Johor, Mohd. Zan Arris meminta kerjasama orang ramai untuk menjadikan jadual perkhidmatan yang disediakan di laluan keluar dan masuk setiap kawasan perumahan serta pelekat berjadual pada tong sampah beroda (TSB) sebagai panduan bagi menguruskan sisa buangan mereka.

“Pihak SWM Environment juga menyarankan orang ramai memanfaatkan Kutipan +1 yang dijadualkan sekali seminggu bagi menguruskan sisa pukal, sisa kebun dan barangan kitar semula yang bakal dilupuskan sepanjang sambutan perayaan.

“Orang ramai juga perlu terus mengamalkan kaedah Pengasingan Sisa Pepejal Di Punca (PSDP),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, beliau mengingatkan orang ramai tentang larangan pemberian dan permintaan sebarang bentuk saguhati perayaan terpakai kepada seluruh tenaga kerja SWM Environment.

Perkara berkenaan katanya, seiring dengan etika kerja harian yang ditetapkan oleh pihak SWM Environment.

Justeru itu, pihak SWM Environment memohon kerjasama dan perhatian orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat tentang perkhidmatan atau etika tenaga kerja SWM Environment melalui Talian Indahkan Malaysia di 1-800-88-7472 atau talian WhatsApp SWM Environment di 012-618 0082 yang akan aktif sepanjang musim perayaan nanti. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×