KUALA LUMPUR 2 Feb. – Walau apapun alasan yang diberikan berhubung lantikan politik dalam Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) perkara pokok yang perlu difahami semua pihak adalah organisasi berkenaan tidak boleh dipengaruhi elemen politik.
Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (Ummah), Aminuddin Yahaya berkata, apabila orang politik berada di dalam sesebuah organisasi penting seperti Yadim mereka akan memastikan setiap apa yang dirancang atau dilakukan tidak bercanggah dengan parti yang diwakili.
Soalnya, kini adakah DAP mempunyai pendirian yang selari dengan agama Islam kerana diketahui ramai parti tersebut menentang Islam dan bergerak ke arah liberal.
“Yadim perlu bergerak secara bersendiri tanpa dikawal mana-mana pihak berkepentingan, adalah bahaya organisasi yang menyelia pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam berada di bawah kawalan orang politik.
“Kita bimbang perkara ini akan menyebabkan NGO-NGO Islam semakin menjauhi Yadim yang akhirnya matlamat untuk menyampaikan dakwah tidak terlaksana,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas pelantikan beberapa ahli lembaga pemegang amanah Yadim dalam kalangan ahli politik termasuk calon Pilihan Raya Umum dari Parti Amanah Negara (Amanah), Nik Omar Nik Abdul Aziz sebagai Yang Dipertua Yadim sementara Pengarah Hal Ehwal Syariah Amanah, Zolkharnain Abidin pula merupakan Timbalan Yang Dipertua Yadim.
Kira-kira 10 ahli lembaga pemegang amanah Yadim adalah lantikan politik termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri Paloh, Sheikh Omar Ali yang merupakan ahli DAP.
Sementara itu, Presiden Gerakan Muslimah Islam Malaysia (GMIM), Wan Asshima Kamaruddin menyarankan kerajaan membentuk kuota tertentu jika benar-benar mahu membuat lantikan politik dalam ahli lembaga pemegang amanah Yadim.
Katanya, untuk berlaku adil dan mengelakkan daripada berlakunya keputusan berat sebelah adalah lebih baik jika lantikan dibuat dalam semua parti termasuk pembangkang.
“Sekarang kita lihat Yang Dipertua dari mana (Amanah), ahli lembaga ada dari DAP. Pecahan tak seimbang, lebih baik masukkan semua parti termasuk UMNO dan Pas bagi mewujudkan semak imbang,” katanya.











