PKR Terengganu ragu pelantikan Azmin - Utusan Malaysia

PKR Terengganu ragu pelantikan Azmin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 2 Feb. – Kontroversi pelantikan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Pengerusi Majlis Tindakan Ekonomi Negeri (MTEN) Kelantan semakin hangat diperkatakan dan hari ini PKR Terengganu turut tampil memberikan reaksi yang meragui status pelantikan itu.

AZAN ISMAIL
AZAN ISMAIL 

Pengerusinya, Azan Ismail hari ini malah menganggap pe­ngumuman mengenai kedudukan Timbalan Presiden PKR itu dalam MTEN Kelantan belum lagi dibuat secara rasmi.

Beliau menegaskan, sepatutnya kedudukan pelantikan itu dibuat serentak di kesemua empat buah negeri yang bukan di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) iaitu Perlis, Kelantan, Pahang dan Terengganu.

Azan seterusnya hairan, sekali gus mempersoalkan kenapa pengumuman pelantikan empat pengerusi MTEN di empat negeri berkenaan tidak diselaraskan.

“Sebab itu agak menghairankan kenapa pengumuman itu tak selaras, apakah kedudukan Kelantan berbanding tiga lagi negeri lain (Perlis, Pahang dan Terengganu). Banyak persoalan timbul sekarang, kenapa dan apa strateginya diumumkan secara tak selaras.

“Sepatutnya pengumuman mengenai pengerusi MTEN dilakukan serentak di empat nege­ri berkenaan. Jadi, kita rasa adalah lebih perlu pengumuman dibuat serentak oleh Perdana Menteri dan secara terbuka kerana jawatan ini satu jawatan penting,” katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau mengulas pelantikan Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu sebagai Pengerusi MTEN Kelantan yang mengundang kontroversi serta bantahan pelbagai pihak memandangkan Pengerusi PH Kelantan, Datuk Husam Musa disebut-sebut mengisi jawatan itu.

Azan seterusnya berkata, sebagaimana diketahui, Kelantan dan Terengganu berada di bawah pentadbiran Pas manakala Pahang serta Perlis di bawah Barisan Nasional (BN) dan kerajaan PH sepatutnya bersungguh-sungguh merancang strategi untuk mengambil alih kuasa di empat negeri itu.

“Pengumuman yang dibuat sedia ada ini di satu negeri kemudian di tiga negeri ditangguhkan tidak memperlihatkan satu perancangan jelas terhadap empat negeri berkenaan (bukan di bawah PH),” katanya.

Ditanya siapa paling layak menerajui MTEN Kelantan, Azan menjelaskan: “Saya pun tak tahu keputusan itu dibuat berasaskan apa formula pun saya tak tahu. Cuma saya harap pelantikan itu seharusnya mendapat reaksi dan sokongan rak­yat negeri itu sendiri, itu mustahak.”

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×