MANCHESTER 2 Feb. – Pep Guardiola mengakui, pasukannya tiada pilihan kecuali menumpaskan Arsenal esok jika mahu menghidupkan peluang mempertahankan gelaran Liga Perdana Inggeris.
Manchester City ketika ini ketinggalan lima mata di belakang pendahulu, Liverpool dan situasi itu kurang menggembirakan Guardiola menjelang aksi di Etihad.
Pengendali The Citizens itu menyeru pemainnya agar segera melupakan kekalahan 1-2 kepada Newcastle, Selasa lalu untuk menghambat Reds.
Perancang utama City, Kevin de Bruyne antara yang gagal beraksi di tahap optimum biarpun dipilih sebagai pemain terbaik kelab musim lalu.
“Pemain tidak boleh mengekalkan tahap prestasi yang sama sepanjang tempoh 11 bulan, turun dan naik itu perkara biasa.
“Apa yang paling penting mereka terus mengekalkan motivasi. Kami kena terus kekalkan kedudukan sekarang dan selepas itu kita tengok sahaja apa yang berlaku kepada pasukan lain.
“Kami mara ke saingan akhir Piala Liga, masih beraksi dalam Liga Juara-Juara dan masih menjadi pencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris, itu bermakna situasi City masih okey.
“Sebelum ini semua orang mengatakan pasukan ini cukup sempurna, namun bagi saya tetap sama iaitu setiap perlawanan ada cabaran tersendiri yang harus dilalui dengan sebaiknya,” kata Guardiola.
Selain kalah kepada Newcastle, apa yang membimbangkan penyokong City adalah pasukan itu tewas empat daripada sembilan perlawanan liga.
Tiga daripada kekalahan tersebut hadir sewaktu berdepan pasukan pertengahan dan bawahan liga.
Sementara itu, pengendali Arsenal, Unai Emery dijangka menggunakan ‘senjata’ baharunya, Denis Suarez yang baru tiba di London, Rabu lalu.
Emery percaya, kehadiran pemain tengah Sepanyol itu mampu memberi impak besar kepada Gunners tetapi tidak akan menggugat kedudukan Mesut Ozil.
Suarez menyertai Arsenal secara pinjaman, dan ini adalah kemunculan keduanya di England selepas dua tahun bersama Manchester City sejak 2011.
“Ia tidak merubah apa-apa terhadap Ozil.
“Suarez hadir ke kelab ini kerana kami memiliki masalah di bahagian sayap, kami tidak memiliki pemain yang boleh beraksi di kanan atau kiri sebab itu khidmatnya amat diperlukan.
“Saya fikir segalanya sudah jelas, anda semua mengeluarkan isu ini setiap minggu,” ujarnya.
Mengenai kedudukan ketua pasukan, Emery berkata, Laurent Koscielny akan memakai lilitan tersebut jika tidak mengalami kecederaan.
“Bagaimanapun jika dia tidak boleh beraksi, tugas itu akan jatuh kepada Petr Cech dan selepas itu barulah Aaron Ramsey.
“Ozil akan menjadi pilihan keempat,” katanya lagi. – AGENSI











