KANGAR 2 Feb. – Kegembiraan sepasang suami isteri mahu meraikan kepulangan anak kesayangan mereka sempena cuti perayaan Tahun Baharu Cina hanya tinggal kenangan apabila kedua-duanya maut dalam kemalangan di Kilometer 17, Jalan Alor Setar-Kangar di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.45 pagi itu, mangsa, Ibrahim Mustaffa, 60, dan isterinya, Zaiton Saleh, 60, dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kuala Perlis selepas mengambil Mohd. Noor Iman Ibrahim, 22, yang juga seorang anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Gurun, Kedah.
Difahamkan, ketika kejadian, kereta yang dipandu Mohd. Noor Iman hilang kawalan lalu terbabas merempuh sebatang pokok di kawasan berkenaan.
Nahas ngeri tersebut mengakibatkan Ibrahim dan Zaiton maut di lokasi kejadian manakala adik anggota tentera itu, Nur Ayu Nadia, 16, pula patah kaki kanan.
Mohd. Noor Iman yang bertugas di Markas Tentera Udara, Bahagian Sumber Manusia, Kementerian Pertahanan, Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur hanya mengalami kecederaan ringan.
Menurut seorang ahli keluarga terdekat yang enggan namanya didedahkan, Mohd. Noor Iman dikatakan menumpang rakannya dari Kuala Lumpur sehingga Gurun sebelum diambil oleh keluarganya untuk pulang ke rumah.
Ujarnya, sebelum itu, Ibrahim dilihat begitu gembira memaklumkan kepada ahli keluarga yang lain bahawa anak lelakinya akan pulang bercuti di kampung halaman.
“Ketika dalam perjalanan pulang, mereka terlibat dengan kemalangan. Mohd. Noor Iman pulang ke kampung sempena cuti Tahun Baharu Cina,” katanya ketika ditemui.
Sementara itu, Ketua Polis daerah, Superintenden Wari Kiew memberitahu, ketika kejadian, kenderaan mangsa yang dalam perjalanan dari Alor Setar menghala ke Kuala Perlis dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh sebatang pokok besar.
Katanya, akibat rempuhan kuat itu, kesemua mangsa didapati tersepit di dalam kenderaan.
“Pemandu kereta itu hanya mengalami kecederaan ringan manakala ayah dan ibunya yang berada di tempat duduk belakang meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Mangsa yang cedera dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar manakala mangsa yang meninggal dunia di bawa ke unit forensik untuk bedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” tambahnya.











