Detik empangan Brazil pecah tular - Utusan Malaysia

Detik empangan Brazil pecah tular

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BRASILIA 2 Feb. – Detik-detik dramatik empangan runtuh di sebuah lombong bijih besi di tenggara Brazil yang mengakibatkan lebih 300 orang sama ada maut atau hilang didedahkan kepada umum, semalam.

BBC melaporkan, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 1 minit 21 saat itu disiarkan saluran televisyen Bandeirantes dan dimuat naik dalam YouTube.

Klip itu menunjukkan bagaimana air lumpur daripada empangan milik firma perlombongan terbesar Brazil, Vale mencetuskan tsunami dan menenggelamkan kantin syarikat dan bangunan yang berada di laluannya dalam kejadian di bandar Brumadinho di negeri Minas Gerais.

Ketua Pegawai Eksekutif Vale SA, Fabio Schvartsman percaya, kejadian itu berlaku terlalu pantas sehingga sistem penggera tidak sempat untuk mengeluarkan amaran awal.

Bagaimanapun, kata beliau, sistem penggera yang dipasang di empangan berusia 42 tahun dengan ketinggian 85 meter itu tidak dimatikan.

Penduduk setempat yang tinggal di kawasan berhampiran mengaku mendengar bunyi bising dipercayai amaran awal sebelum kejadian itu berlaku.

Vale sebelum ini turut terpalit dengan insiden serupa di negeri ini pada 2015 yang me­ragut 19 nyawa dan dianggap bencana alam sekitar terburuk di Brazil ketika itu.

Dalam pada itu, seorang pegawai kerajaan negeri memberitahu Reuters, berdasarkan siasatan awal, kejadian terbabit terjadi ekoran berlaku pencairan, proses kandungan padu pasir hilang kekuatan dan kekerasan yang kemudiannya bertukar menjadi cecair.

Wartawan BBC, Julia Carneiro turut menyatakan, punca empangan milik anak syarikat Vale, tiga tahun lalu di Maria­na juga adalah ekoran pencairan struktur tanah.

“Kedua-dua empangan ini dibina di hulu su­ngai dan dibina atas sisa lombong kering yang me­ngandungi campuran pasir dan tanah liat seperti lumpur,” katanya.

Setakat ini, lima individu ditahan dan pegawai pendakwa di Brazil percaya tiga daripada mereka yang merupakan pegawai Vale, bertanggungjawab dalam pemberian lesen impak alam sekitar. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×