KUALA NERANG 2 Feb. – Seorang lelaki nyaris maut setelah terkena peluru sesat ketika pergi memancing bersama dua rakannya di kawasan Caruk Jek di Tasik Pedu di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, mangsa, Mat Zaki Mat Diah, 44, dipercayai baru hendak berehat dan sedang memasang buaian sebelum terkena tembakan pada bahagian dada kanan.
Dua rakan mangsa, masing-masing berusia 23 dan 53 tahun pula sedang tidur dan mandi di tebing tasik berkenaan ketika kejadian.
Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintenden Noh Idris berkata, dua lelaki tersebut terkejut apabila tiba-tiba mendengar mangsa mengerang kesakitan.
“Mangsa kemudian ditemukan terbaring berlumuran darah di atas tanah. Dua rakannya terus membawa mangsa keluar dari tasik tersebut dengan sampan sebelum dikejarkan ke Hospital Kuala Nerang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Noh, mangsa yang bekerja sendiri itu kemudian dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar dan imbasan X-ray menemukan benda asing disyaki anak peluru di dalam badannya.
“Kita masih menyiasat daripada mana peluru itu dilepaskan dan ia mungkin daripada pemburu di kawasan hutan tersebut,” ujarnya yang memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Senjata Api 1960. – UTUSAN ONLINE











