Dua nelayan dikhuatiri hilang di perairan Kuala Muda - Utusan Malaysia

Dua nelayan dikhuatiri hilang di perairan Kuala Muda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU PINANG 2 Feb. – Dua nelayan dikhuatiri hilang di perairan Kuala Muda di sini setelah tidak pulang dari menangkap ikan sejak semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) negeri, Kapten Maritim Hamizan Harun berkata, bot tersebut yang dikendalikan oleh Yashir Abd. Hamid bersama seorang lagi awak-awak warga tempatan telah keluar dari Jeti Pangkalan Kuala Muda di sini kira-kira pukul 4 petang semalam.

“Pengadu iaitu Rosli Arifin dari Persatuan Nelayan Kuala Muda memberitahu kebiasaannya mangsa menangkap ikan di sekitar Utara perairan negeri ini dan akan pulang ke pangkalan pada pada pukul 11 malam hari yang sama.

“Namun sehingga kini kedua-dua mangsa tidak pulang,” katanya, di sini hari ini.

Menurut Hamizan Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi telah mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sejurus aduan diterima.

“Selain Maritim Malaysia, turut serta dalam operasi SAR ini adalah aset dari Pasukan Polis Marin Batu Uban dan bot-bot nelayan setempat yang sama-sama membantu mencari mangsa,” katanya.

Tambahnya, orang awam diminta agar melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut di talian kecemasan 24 jam iaitu MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim negeri di talian 04-2626146. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×