Lelaki mengamuk rosakkan kereta dan bakar barangan pegawai polis - Utusan Malaysia

Lelaki mengamuk rosakkan kereta dan bakar barangan pegawai polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR 2 Feb. – Seorang lelaki bertindak ganas merosakkan kereta dan membakar barangan milik seorang wanita yang juga pegawai kanan polis negeri ini di Taman Kangar, di sini semalam.

Lelaki itu dikatakan bertindak demikian selepas tidak berpuas hati apabila ibunya menyewakan bilik di rumah mereka kepada wanita berkenaan yang baru dua hari menetap di situ.

Bagaimanapun, suspek yang berusia 34 tahun itu berjaya ditahan polis sejurus selepas menerima panggilan daripada wanita itu.

Ketua Polis negeri, Datuk Noor Mushar Mohd berkata, suspek telah bertindak membakar barangan peribadi dan memecahkan cermin hadapan dan sisi kereta Toyota Vios milik pegawai polis terbabit.

Katanya, suspek dipercayai memecah masuk rumah mangsa yang ketika itu baru pulang kira-kira pukul 9.30 malam.

“Sejurus tiba di kawasan rumah, suspek membakar barangan peribadi pegawai polis ini seperti beg tangan berjenama dan pakaian selain jam tangan berjenama milik mangsa turut dipecahkan.

“Suspek juga cuba menyerang mangsa namun berjaya dihalang oleh mangsa dan rakannya,” katanya, hari ini.

Tambah Noor Mushar, hasil siasatan, suspek yang juga penganggur tidak berpuas hati kerana ibunya menyewakan bilik di rumah berkenaan kepada mangsa.

“Suspek ditahan reman bermula hari ini sehingga Selasa depan. Kes disiasat di bawah Seksyen 506,427,435 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×