Warga emas maut motosikal bergesel treler - Utusan Malaysia

Warga emas maut motosikal bergesel treler

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBERANG PERAI – Seorang lelaki warga emas maut selepas motosikal ditungganginya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah treler di susur masuk ke Jambatan Pulau Pinang dekat Perai di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.20 petang itu, mangsa, Lim Soon Huat, 66, meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai akibat mengalami kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid dalam satu kenyataan sebentar tadi berkata, kejadian berlaku apabila motosikal ditunggangi mangsa bergesel dengan sebuah treler yang baru memasuki susur itu.

“Motosikal tersebut bergesel dengan bahagian kiri treler yang pada ketika itu berada di lorong kanan.

“Tempat kemalangan adalah jalan selekoh dengan dua lorong sehala ke arah Jambatan Pulau Pinang,” katanya.

Menurutnya, akibat kejadian itu mangsa maut di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Seberang Jaya bagi urusan bedah siasat.

Difahamkan pemandu treler iaitu lelaki berusia 38 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×