CUKUP-CUKUPLAH menyentuh isu Elizabeth Tan berani berimej seksi kerana penyanyi ini sudah lama memasang hajat mahu meneruskan hidupnya tanpa sebarang kontroversi.
Sekurang-kurangnya, dengan kedatangan tahun baharu kali ini, dia mahu menjadi individu yang lebih positif di samping menghala fokus kepada pada kedua-dua kerjaya iaitu nyanyian dan lakonan.
Kedengaran klise, namun kata wanita yang mesra disapa Lizzy ini, sepanjang lima tahun berkecimpung dalam industri seni, dia berani mengaku kini semakin matang dalam kebanyakan perkara.
“Terima kasih pada pengalaman lalu yang banyak menjadikan siapa diri saya yang sekarang. Antara perubahan paling ketara, saya sudah semakin banyak bercakap sekarang.
“Tahun lepas menyaksikan saya banyak berusaha memperbaiki kualiti personaliti. Sekurang-kurangnya saya tidak lagi seorang yang pendiam,” katanya.
Mencuba menukar personaliti yang lebih extrovert, Lizzy sedar bukan mudah untuk menukar keperibadian begitu.
“Sebenarnya, saya tak suka buat persembahan di depan orang ramai. Bila berada di pentas, semua mata akan memandang dan ia sebenarnya membuatkan saya tidak selesa.
“Sampai sekarang pun saya masih rasa begitu dan ada ketika akal saya tak boleh terima keadaan itu,” katanya.
Mengaku mempunyai gangguan perasaan keterlaluan, Lizzy mendedahkan hampir setiap malam tidak boleh tidur gara-gara memikirkan kerja.
“Andai ada satu persembahan yang perlu saya lakukan, biarpun bukan dalam masa terdekat, saya mula sukar tidur lena. Asyik berfikir dan gelisah.
“Sebab itu jugalah tahun lepas, cuma dua tawaran menyanyi sahaja saya ambil. Itu pun kerana ada single Semua Sudah sebab lagu itu kurang memberi tekanan buat saya,” katanya.











