Cinta Mariamah tanpa batasan - Utusan Malaysia

Cinta Mariamah tanpa batasan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sepanjang tiga jam bertamu di kediaman Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim dan Asnaf Qaseh Ibu yang terletak di 482, Jalan Seri Kemuning, Lembah Jaya Selatan, Ampang Selangor, riuh kedengaran suara-suara anak-anak jagaan Mariamah. Ada yang masih di sekolah rendah dan sebahagian lagi belajar di sekolah menengah.

“Saya mengharapkan anak-anak ini berjaya dunia dan akhirat.” Begitulah harapan wanita yang juga pengasas pertubuhan itu, Mariamah Miskan, 33.

Bergelar ibu tunggal pada usia muda menjadi kekuatan utama Mariamah membesarkan dan menjaga hampir 55 kanak-kanak yang sudah dianggap seperti anak sendiri.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sebelum membuat keputusan mendaftar pertubuhan tersebut, pelbagai cabaran yang dilalui Mariamah. Dia pernah ditipu, dipergunakan untuk kepentingan pihak tertentu dan diberi notis keluar daripada kediaman mereka sebelum ini. Mariamah mengakui, dia sanggup melalui segala kepayahan itu biarpun prosedurnya amat rumit dan kadang-kadang penuh air mata.

“Kebanyakan anak-anak ini saya ambil sejak mereka kecil lagi. Tanpa mengira latar belakang, mereka dianggap anak sendiri. Namun perjalanannya tidaklah mudah. Setiap anak saya terima dengan penuh kesyukuran. Ada yang diberi orang. Ada yang ditinggalkan ibu. Ada yang kematian ayah dan ibu. Ada pula anak jalanan dari lorong gelandangan.

“Anak ini tidak berdosa. Sebab itu saya tidak kisah asal-usul mereka. Saya mahu didik mereka dengan kasih sayang supaya mereka saling hormat-menghormati orang lebih tua, saling membantu dan tidak tinggal solat,” katanya tersenyum manis.

Bagi Mariamah, bukan mudah untuk menubuhkan satu pertubuhan kerana banyak cabaran yang harus ditempuhnya dan memerlukan kekuatan fizikal dan mental.

“Apabila menyebut tentang perjuangan, segalanya bermula dengan niat kerana Allah. Saya mahu membela nasib mereka walaupun saya terpaksa bersusah payah. Banyak kenangan saya bersama mereka. Kami pernah diberi notis dua hari untuk berpindah ke tempat lain. Hanya Allah yang tahu perasaan saya waktu itu. Mujur saya bertemu dengan Norlina Alawi (pengasas Persatuan Kebajikan Anak Pesakit HIV/AIDS Nurul Iman Malaysia- Pernim) yang memberitahu saya tentang kediaman ini,” katanya.

Ditanya kekuatan untuk bertahan hingga ke hari ini, jawabnya dalam nada sebak, tentulah anak-anak itu yang banyak mengajarnya agar sentiasa bangkit dan terus berdiri di kaki sendiri walaupun dalam keadaan kekurangan. Walaupun kanak-kanak tersebut berasal daripada pelbagai latar belakang, mereka kelihatan sama dan sentiasa ceria seperti kanak-kanak di luar sana. Jadi, melihat mereka yang tidak pernah merungut dan berputus asa menjadikan Mariamah lebih kuat dan bersemangat.

“Kanak-kanak ini sebenarnya penyeri hidup saya. Setiap kali melihat mereka bermain dan tersenyum, terubat kesedihan saya. Pun begitu, saya pernah berhadapan dengan pengalaman pahit seperti diajukan pisau oleh salah seorang kanak-kanak yang kematian ibunya. Saya cuba tenangkan dia dan saya redakan kemarahan dia dengan meletakkan diri saya seperti ibu kandungnya,” katanya yang disapa ibu oleh anak-anak jagaannya.

Kini Mariamah mahu mengabadikan kasih sayang yang diibaratkan cinta tanpa sempadan dan seterusnya melihat anak-anak jagaannya belajar sehingga ke peringkat menara gading agar mampu menjaga diri sendiri selepas dirinya sudah tiada nanti. Biarpun terpaksa berhempas-pulas mencari rezeki bagi menampung persekolahan anak-anak jagaannya namun Mariamah puas melihat kegembiraan mereka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×