TUMPAT 2 Feb. – Empat tukang rumah nyaris maut selepas struktur bumbung garaj yang dibina mereka runtuh di Kampung Palekbang dekat sini kira-kira pukul 11 pagi tadi.
Bagaimanapun, Abdullah Deraman, 60, dan Ismail Mahmud, 60 dari Kampung Sungai Pinang serta dua sahabat mereka, Mohd Faizal Abdullah, 32, dan Che Muhammad Arif Che Ariffin, 22, dari Kampung Kolam Teratai hanya mengalami cedera ringan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat, Penolong Penguasa Bomba, Wan Baijuri Wan Hassan berkata, ketika kejadian dua daripada tukang rumah itu berada di atas bumbung manakala dua lagi di bawah garaj untuk kerja-kerja pemasangan atap.
Katanya, sebaik sahaja anggota bomba tiba di tempat kejadian keempat mangsa sudah keluar dari runtuhan bekenaan.
“Mereka berempat mengalami kecederaan ringan dan terus dihantar ke Hospital Tumpat untuk rawatan lanjut.
“Mangsa dibawa oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Tumpat untuk ke hospital,” katanya.
Tambahnya , hasil pemeriksaan awal mendapati struktur bumbung garaj itu tidak dapat menampung berat atap dan pihaknya masih meneruskan siasatan.
“Rangka bumbung tersebut menggunakan kayu lama, mungkin itu penyebabnya struktur itu runtuh,” katanya. – UTUSAN ONLINE











