ALOR SETAR 2 Feb. – Hanya kerana nakal, seorang bapa di Kulim dekat sini, tergamak memukul anak lelakinya yang baru berusia lima tahun dengan menggunakan penyangkut baju sehingga mengalami lebam pada seluruh badan.
Kejadian berlaku di rumah mereka di Kulim Hitech Park, Rabu lalu.
Perbuatan lelaki berusia 35 tahun itu terbongkar apabila disedari seorang guru di sebuah tadika yang menyedari perubahan terhadap mangsa yang kelihatan tidak bermaya selain batuk-batuk, semalam.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, guru wanita berusia 27 tahun itu mengesyaki pelajarnya didera apabila menemukan kesan lebam pada kedua-dua belah pipi dan tangan, bahagian belakang badan dan punggung.
“Guru terbabit bertanya kepada mangsa sebelum memaklumkan dia dipukul bapanya semasa berada di rumah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, guru tersebut kemudian membawa mangsa ke Hospital Kulim untuk mendapatkan rawatan sebelum membuat laporan kepada pihak polis kerana mengesyaki pelajarnya itu menjadi mangsa dera.
“Susulan laporan itu, polis bertindak menahan bapa kanak-kanak itu di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim kira-kira pukul 5.45 petang hari yang sama,” ujarnya.
Menurut Ahmad Nasir, lelaki berkenaan yang merupakan juruteknik kilang mengaku memukul anaknya itu pada Rabu lalu kerana tertekan dengan kenakalan mangsa yang tidak mahu mendengar kata selain isterinya yang sarat mengandung anak kedua.
“Dia yang tidak mempunyai rekod lampau dibebaskan dengan jaminan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” jelasnya.
Tambahnya, kanak-kanak terbabit kini di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). – UTUSAN ONLINE











