TANGKAK 2 Feb. – Polis berjaya menumpaskan geng Kepala Gajah yang melakukan kegiatan pecah rumah di daerah ini sejak kira-kira setahun lalu selepas menahan empat suspek kelmarin.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Mohad Idris Samsuri berkata, suspek yang berusia antara 23 hingga 54 tahun itu diberkas kurang tempoh 12 jam selepas memecah masuk sebuah rumah di Bukit Gambir di sini.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak kemudian membuat serbuan di sebuah kediaman di Taman Sri Jaya Bukit Gambir di mana lokasi itu merupakan kediaman sewa suspek.
“Hasil serbuan pada pukul 12.30 tengah malam itu, keempat-empat suspek diberkas dan polis menemui pelbagai peralatan dipercayai hasil kegiatan pecah rumah,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Tangkak di sini sebentar tadi.
Katanya, sebanyak 28 barang terdiri daripada pelbagai patung peralatan sembahyang, beg tangan, lapan utas jam tangan, beberapa model telefon bimbit, barang kemas dan sebuah komputer riba serta wang tunai dirampas.
Menurutnya, geng itu turut dipercayai terlibat dengan 11 lagi kes pecah rumah khususnya di kawasan Bukit Gambir yang telah dilaporkan sejak awal 2018.
“Keempat-empat suspek direman selama tujuh hari bermula dari tarikh tangkapan iaitu hari ini. Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis methamphetamin,” katanya. – UTUSAN ONLINE










