KOTA BHARU 2 Feb. – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Ketereh mengajak semua pimpinan Pakatan Harapan (PH) Kelantan untuk kekal tenang dalam isu perlantikan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Pengerusi sebagai Pengerusi Majlis Tindakan Ekonomi Negeri (MTNg).

Naib Ketua AMK Cabang Ketereh, Che Isham Sharudin Che Hamat Nordin berkata, perlantikan itu tidak sepatutnya disensasikan kerana dibimbangi boleh mengugat keharmonian dalam kalangan pimpinan PH negeri.
Beliau berkata, pihaknya lebih selesa mengambil pendekatan memberi ruang kepada Ahli Parlimen Gombak itu untuk membuktikan keupayaan sebagai pengerusi MTNg Kelantan.
“Cukup-cukuplah kita sajikan politik perbalahan melampau yang boleh mengundang rasa mual pada rakyat. Rakyat sudah memilih PH dan ketika ini mereka sedang menilai gerak kerja kita semua.
“Kepada teman-teman dalam komponen PH usah gudah- gulana, atas nama kesepakatan Insya-Allah kita bersama laksanakan agenda rakyat sebaik mungkin. Andai ada sekelumit amarah atau kecewa korbankanlah demi keutuhan PH di Kelantan,” katanya.
Che Isham yang juga Ketua Penerangan AMK Cabang Ketereh memberitahu, beliau percaya pengalaman dan kepakaran yang dimiliki oleh Mohamed Azmin mampu mengukuhkan hubungan kerjasama erat diantara kerajaan pusat dan negeri.
Katanya, dengan ketokohan dan ketenangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa, Selangor itu mudah untuk diajak berunding.
“Saya yakin dan percaya rakyat Kelantan akan mendapat lebih manafaat dikemudian hari.
“Inilah masanya untuk kita melihat sejauh mana keterbukaan dan keberhasilan kerajaan PH terutama dalam skop kerjasama diantara kerajaan pusat dan kerajaan negeri demi kepentingan rakyat walaupun berbeza fahaman politik,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











