KUALA LUMPUR 2 Feb. – Tiada perubahan jadual kutipan sampah dan pembersihan di kawasan perkhidmatan Alam Flora Sdn. Bhd. (Alam Flora) di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Pahang sepanjang cuti perayaan Tahun Baharu Cina, bermula Selasa ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Datuk Mohd. Zain Hassan berkata, musim perayaan tidak akan mengubah jadual atau perjalanan operasi Alam Flora.
“Pihak kami telah membuat persediaan awal kerana menjangkakan jumlah sampah akan meningkat terutama di kawasan-kawasan di mana populasi penduduknya tinggi.
“Oleh itu, lebih 3,000 pekerja Alam Flora akan terus menjalankan kerja-kerja kutipan sampah dan pembersihan awam yang mana jumlah penghasilan sisa domestik dijangka akan meningkat dari hari-hari malah turut menyediakan lebih 300 buah lori kompaktor serta jentera-jentera sokongan pembersihan,” katanya.
Sementara itu, Mohd. Zain berkata, laluan kutipan akan diubah suai mengikut keperluan semasa untuk menampung sebarang kemungkinan pertambahan sampah terutama selepas orang ramai pulang dari kampung halaman masing-masing.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru agar penduduk di bawah seliaan Alam Flora untuk mengamalkan pengasingan sampah bagi membantu mengurangkan penghasilan sisa dari premis kediaman dan menggunakan tong atau bekas sampah yang disediakan mengikut peraturan-peraturan pembuangan sampah yang telah ditetapkan.
Maklumat lanjut, boleh diperolehi di laman web www.alamflora.com.my dan aplikasi alamflora4u. – UTUSAN ONLINE











