Pasangan suami isteri maut, dua anak cedera - Utusan Malaysia

Pasangan suami isteri maut, dua anak cedera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR 2 Feb. – Sepasang suami isteri maut manakala dua anak mereka cedera selepas kereta yang dinaiki keluarga itu hilang kawalan seterusnya merempuh sebatang pokok di Kilometer 17 Jalan Alor Setar-Kangar di sini, hari ini.

Kejadian pada pukul 4.55 pagi itu mengakibatkan Ibrahim Mustaffa, 60, dan isterinya, Zaiton Saleh, 60, maut di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah.

Kesemua mangsa juga didapati tersepit di dalam kenderaan sebelum anggota bomba berjaya mengeluarkan mereka.

Mangsa yang cedera itu pula ialah pemandu kereta tersebut, Mohd. Noor Iman Ibrahim, 22, yang juga merupakan anggota angkatan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan adiknya, Nur Ayu Nadia,16, yang patah kaki kanan.

Ketua Polis daerah, Superintenden Wari Kiew memberitahu, ketika kejadian, kenderaan mangsa yang dalam perjalanan dari Alor Setar menghala ke Kuala Perlis dipercayai hilang kawalan di kawasan gelap itu sebelum merempuh sebatang pokok besar.

Katanya, akibat rempuhan kuat itu, kesemua mangsa didapati tersepit di dalam kenderaan.

“Pemandu kereta itu hanya mengalami kecederaan ringan manakala ayahnya yang berada di sebelah pemandu dan ibunya yang berada di tempat duduk belakang meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Mangsa yang cedera dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar manakala mangsa yang meninggal dunia dibawa ke Unit Forensik untuk dibedah siasat,” katanya di sini, hari ini.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×