Agong: 2 lelaki ditahan bantu siasatan kes ugut, seorang menghina - Utusan Malaysia

Agong: 2 lelaki ditahan bantu siasatan kes ugut, seorang menghina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN 2 Feb. – Polis menahan dua lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes mengugut seorang peniaga di Lorong Tun Ismail di sini berpunca daripada komen yang dilihat menghina Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah yang mana rakaman kejadian itu tular dalam media sosial sejak semalam.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, tangkapan ke atas kedua-dua lelaki masing-masing berusia 32 tahun dan 36 tahun itu dibuat selepas peniaga berusia 45 tahun berkenaan membuat laporan polis malam tadi mendakwa terdapat beberapa lelaki ke kedainya memaki hamun dan mengajaknya bergaduh.

“Siasatan awal mendapati pengadu didatangi beberapa lelaki yang tidak dikenalinya dan memarahinya mengenai komen terhadap gambar Yang di-Pertuan Agong. Suspek juga ada mengeluarkan perkataan berunsur ugutan bagi menakut-nakutkan pengadu.

“Hasil siasatan awal juga mendapati suspek berasa marah terhadap komen dibuat pengadu kerana dianggap telah menghina institusi diraja dan kemuliaan raja-raja Melayu,” katanya di sini hari ini.

Menurut Mohamad Noor, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, Ibu pejabat Polis Daerah Temerloh dekat sini turut menahan seorang individu bagi membantu siasatan kes menghina Yang di-Pertuan Agong. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×