Abdul Hadi, Rewcastle-Brown: Selesai kes luar mahkamah - Utusan Malaysia

Abdul Hadi, Rewcastle-Brown: Selesai kes luar mahkamah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 3 Feb. – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memutuskan untuk memuktamadkan penyelesaian di luar mahkamah berhubung kes saman beliau terhadap pengasas dan editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown.

Setiausaha Politik kepada Presiden Pas, Syahir Sulaiman berkata, keputusan itu dicapai menerusi Perintah Persetujuan bertarikh 1 Februari 2019 di Mahkamah Tinggi London (High Court of Justice, Queen’s Bench Division).

Kata beliau, ketetapan itu dilakukan setelah Abdul Hadi meneliti keseluruhan tindakan mahkamah yang difailkan daripada semua aspek dan mempertimbangkan pandangan serta nasihat peguam.

“Abdul Hadi membuat ketetapan untuk memuktamadkan penyelesaian di luar mahkamah dengan menarik balik tuntutan terhadap Rewcastle Brown selaku defenden, dan editor Sarawak report itu juga menarik balik tuntutan balas terhadap Presiden Pas tersebut.

“Tiada perintah kos dan kedua-dua pihak tertakluk kepada persetujuan kerahsiaan mengenai terma-terma berkaitan penyelesaian ini.

“Abdul Hadi mengucapkan terima kasih dan merakamkan setinggi penghargaan kepada barisan peguam, ahli-ahli Pas dan semua pihak yang telah memberikan sumbangan dan sokongan sepanjang perjalanan kes ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Abdul Hadi memfailkan saman fitnah terhadap Rewcastle-Brown di Mahkamah Tinggi London pada 21 April 2017.

Tindakan itu susulan laporan Sarawak Report yang mendakwa RM90 juta dimasukkan ke akaun pemimpin Pas untuk mendorong bekerjasama dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN). – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×