Penerima BSH diminta daftar dan kemaskini maklumat - Utusan Malaysia

Penerima BSH diminta daftar dan kemaskini maklumat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 2 Feb.- Bayaran Bantuan Sara Hidup (BSH) 2019 untuk fasa kedua dijadualkan pada Mei ini manakala seterusnya bagi fasa ketiga pula pada Ogos.

Sehubungan itu Kementerian Kewangan dalam kenyataan memaklumkan, untuk menerima bayaran BSH 2019 selanjutnya, pemohon berkelayakan perlu mendaftar dan mengemaskini maklumat isi rumah.

Maklum kenyataan itu, tempoh pendaftaran BSH 2019 telah mula dibuka bermula semalam sehingga 15 Mac ini.

“Secara amnya, isi rumah yang berpendapatan di bawah RM4,000 sebulan layak untuk menerima BSH.

“Pendekatan BSH adalah selaras dengan keprihatinan kerajaan untuk menyasarkan bantuan hanya kepada golongan yang layak menerimanya iaitu golongan amat perlukan bantuan bagi menghadapi kos sara hidup,” kata kenyataan itu di sini hari ini.

Jelas kenyataan sama lagi, pemohon yang layak dialu-alukan untuk membuat permohonan melalui dua kaedah iaitu secara offline dan dalam talian.

“Borang permohonan BSH 2019 boleh didapati secara percuma di mana-mana cawangan, pusat khidmat hasil dan Pusat Transformasi Bandar Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Mereka juga boleh memuat turun borang permohonan di portal rasmi BSH

https://bsh.hasil.gov.my manakala secara dalam talian juga boleh dilakukan menerusi portal ini,” katanya.

Kementerian Kewangan menambah, pihak kerajaan juga mengambil langkah proaktif menerusi kemudahan pendaftaran setempat membantu pendaftaran isi rumah di kawasan pedalaman terpencil serta golongan tertentu seperti yang terlantar.

“Oleh demikian, pihak kementerian akan mewujudkan jalinan kerjasama dengan agensi seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Kemajuan Orang Asli dan Unit Penyelarasan Perlaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri,” maklum kenyataan sama.

Pada masa sama, kenyataan menambah proses pendaftaran dan pengemaskinian maklumat isi rumah dilaksanakan bagi memastikan hanya isi rumah yang layak menerima BSH.

“Langkah tersebut penting bagi memastikan sumber negara digunakan dengan berhemah serta bersasar kepada golongan B40 dan mengelakkan ketirisan bantuan kepada golongan yang berada,” maklum kenyataan itu.

Bayaran fasa pertama BSH 2019 telah dilaksanakan pada Isnin lalu dan telah memanfaatkan empat juta isi rumah dengan bayaran RM300 bagi setiap isi rumah dan melibatkan peruntukan sebanyak RM1.2 Bilion.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×