PUCHONG – Kira-kira 200 lot kedai di Uptown Puchong Permai di sini musnah dalam kebakaran pada pukul 7.50 pagi tadi.
Timbalan Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norizham Mohd. Nudin berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 7.58 pagi dan api berjaya dikawal sejam kemudian.
“Sewaktu bomba tiba api sedang marak namun tiada mangsa berikutan aktiviti perniagaan tidak beroperasi.
“Kejadian kebakaran membabitkan 200 lot kedai dan 80 daripadanya sahaja yang aktif menjalankan perniagaan,” katanya ketika ditemui pemberita dilokasi kejadian hari ini.

Menurutnya lagi, hasil siasatan awal mendapati api bermula pada bahagian tengah.
“Punca kejadian dan kerugian masih dalam siasatan memandangkan kerja-kerja pemadaman masih dilakukan,” ujarnya. – K! ONLINE










