KUALA LUMPUR 1 Feb. – AmorePacific Malaysia Sdn. Bhd. akan membawa masuk empat jenama produk kosmetik dan penjagaan rambut dari Korea Selatan ke Malaysia ekoran sambutan menggalakkan ke atas produk terbabit daripada pelanggan.
Pengurus Negara AmorePacific Malaysia, Margaret Chin berkata, empat jenama berkenaan termasuk Minse En Scene, Amos Professional, Hera dan Ryo yang mana kini sudah boleh didapati di rangkaian farmasi Watsons.
Katanya, syarikat itu, unit milik penuh AmorePacific Corp. yang berpangkalan di Korea Selatan,

memiliki 30 jenama tersedia di Korea Selatan.
“AmorePacific Malaysia memperuntukkan perbelanjaan modal (capex) sebanyak RM10 juta tahun ini bagi pelan peluasan operasi sama seperti jumlah perbelanjaan pada 2018.
“Kami masih mencari lokasi yang ideal buat HERA yang merupakan jenama mewah dan memiliki sasaran pelanggan niche, selewat-lewatnya suku keempat tahun ini, ia akan berada di Malaysia,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Sejak 2006, AmorePacific Malaysia telah memperkenalkan sebanyak lima jenama termasuk Laneige diikuti Sulwhasoo (2013), Innisfree (2014), Mamonde (2016) dan Etude House (2017) di Malaysia.
Syarikat itu sebelum ini pernah mengumumkan rancangan menjadikan Malaysia sebagai hab pengeluaran produk melalui pembinaan kilangnya di Iskandar Puteri, Johor.
Bagaimanapun, Margaret berkata, kerja pembinaan kilang terpaksa ditangguhkan dan akan dapat disiapkan pada 2022 berbanding perancangan awal 2020.
“Kilang ini akan digunakan bagi penghasilan produk halal untuk dijual ke Arab, Indonesia dan pasaran negara muslim yang lain.
“Ia juga berperanan sebagai pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pengeluaran bersepadu produk kami,” katanya.
AmorePacific Malaysia melabur sebanyak RM600 juta untuk pembinaan kilang itu dengan RM500 juta diperuntukkan bagi pemasangan mesin dan peralatan manakala selebihnya digunakan untuk tujuan pembinaan infrastruktur.











