‘Orang Besi’ Pahang kembali mengganas - Utusan Malaysia

‘Orang Besi’ Pahang kembali mengganas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 1 Feb.- Kepulangan semula penyerang ‘Orang Besi’ dari Nigeria, Dickson Nwakaeme nyata memberi impak besar buat Pahang apabila Tok Gajah memulakan kempen Liga Super dengan membenam Kuala Lumpur 3-1 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras malam ini.

Dickson, 32, nyata tidak kekok biarpun baru kembali ke Malaysia apabila meledak dua gol pada minit ke-53 dan minit terakhir permainan.

Pahang, antara pasukan pilihan untuk mencabar kejauraan Liga Super musim ini terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi pemain sayap dari Indonesia, Saddil Ramdani pada minit ke-24.

Pasukan pelawat yang mempunyai banyak peluang bagaimanapun gagal membolosi gawang Kuala Lumpur ekoran kecemerlangan penjaga gol, Mohd. Sharbinee Allawee Ramli dan kedudukan 1-0 kekal pada babak pertama.

Kuala Lumpur cuba bermain lebih agresif pada separuh masa kedua dan berjaya memperoleh gol penyamaan menerusi sepakan voli Afiq Ahmad Razali hanya tiga minit selepas perlawanan bersambung.

Begitupun, Nwakaeme tidak menunggu lama untuk kembali meletakkan Tok Gajah di depan apabila memanfaatkan kesilapan Sharbinee yang gagal mengeluarkan bola hantaran silang Mohamadou Sumareh dengan kemas untuk gol kedua Pahang pada minit ke-53.

Penyerang Nigeria itu mencetak gol kedua peribadinya menerusi gerakan solo di hujung permainan bagi memastikan tiga mata berharga dibawa pulang oleh Pahang. – UTUSAN ONLINE


Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×