LONDON 1 Feb. – Perbelanjaan yang dikeluarkan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) dalam perpindahan pemain bulan Januari jatuh buat kali pertama sejak 2012 apabila mereka hanya membelanjakan 180 juta pound (RM961 juta) keseluruhan sebaik sahaja pasaran ditutup, hari ini.
Bintang tengah Amerika Syarikat, Christian Pulisic adalah urus niaga terbesar buat kelab EPL selepas Chelsea membayar 58 juta pound (RM310 juta) untuk mendapatkannya daripada Borussia Dortmund.
Tahun lalu, kelab utama England membelanjakan 430 juta pound (RM2.3 bilion), yang mana

pembelian terbesar dilakukan Liverpool ketika membawa masuk pemain pertahanan, Virgil van Dijk dari Southampton pada harga 75 juta pound (RM400 juta).
Perbelanjaan terendah yang dicatatkan kelab EPL dalam pasaran perpindahan Januari sebelum ini adalah 225 juta (RM1.22 bilion) pada 2011.
Urus niaga terbesar dalam pasaran perpindahan di Eropah sebaliknya dilakukan gergasi bola sepak Sepanyol, Barcelona yang membayar 65 juta pound (RM347.78 juta) kepada Ajax untuk mendapatkan bintang tengah Belanda, Frenkie de Jong.
Biarpun tidak melakukan pembelian besar, namun perpindahan bintang tengah Sepanyol, Denis Suarez dari Barcelona ke Arsenal menerusi pinjaman mencuri tumpuan.
Suarez yang kurang mendapat tempat di Camp Nou dijangka menjadi bintang baharu di Emirates, sekali gus mengatasi masalah di bahagian serangan.
Namun begitu, ketika pemain berusia 25 tahun itu belum pun membuat penampilan buat Gunners perbezaan pendapat antara dia dan pengurus pasukan, Unai Emery mula meresahkan peminat.
Emery percaya, Suarez adalah calon terbaik untuk mengisi posisi sayap kerana dia memiliki kualiti yang diperlukan.
“Dia pernah bermain di posisi sayap kiri dan kanan ketika bersama saya di Sevilla (musim 2014/2015).
“Saya percaya dia memiliki kualiti yang bagus, jadi kami perlukan dia di bahagian sayap,” kata Emery.
Begitupun, Suarez kemudian berkata: “Saya lebih selesa bermain di bahagian tengah.
“Idola saya dalam bola sepak adalah Andres Iniesta (pemain tengah Sepanyol), jadi saya mahu bermain di posisi yang sama dengannya”. – AGENSI











