SEREMBAN 1 Feb. – Negeri Sembilan mahu memulakan aksi sulung Liga Perdana menentang Sarawak esok dengan langkah kanan, apatah lagi perlawanan akan berlangsung di depan penyokong sendiri di Stadium Tuanku Abdul Rahman (STAR), Paroi.
Ketua jurulatihnya Mohd. Zan Mat Aris berkata, biarpun tidak begitu mengetahui kekuatan dan kelemahan lawan, namun beliau yakin dengan kemampuan pasukannya berdasarkan prestasi mereka sepanjang pramusim.
“Saya akan turunkan ketiga-tiga pemain import iaitu dua pemain dari Brazil, Matheus Fernandes Vila Real dan Jose Almir Barros Neto serta pemain Jepun yang juga bekas pemain tengah pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Shunsuke Nakatake.
“Mereka menjadi tunjang kepada kekuatan Negeri Sembilan musim ini.
“Vila Real bermain diposisi pertahanan, Barros Neto diposisi penyerang, manakala Nakatake bermain diposisi tengah.
“Antara pemain tempatan yang diletakkan sandaran ialah ketua pasukan, Norhafiz Zamani Misbah; bekas pemain Kuantan FA, Azrul Nizam Muhammad; bekas pemain PDRM FA, Izaaq Izhan Yuswardi dan dan bekas pemain Felcra Dzulfahmi Abdul Hadi,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd. Zan berharap pemain dapat mempamerkan prestasi memberangsangkan pada perlawanan tersebut dan membawa pulang tiga mata penuh.
“Saya yakin menerusi persiapan rapi dilakukan, ia akan memberi impak positif kepada sasaran ditetapkan. Dengan kesebelasan utama pemain yang akan diturunkan saya harap mereka tidak akan mengecewakan penyokong sendiri.
“Saya harap percaturan perlawanan esok dapat membuahkan keputusan diharapkan,” katanya. – BERNAMA










