30 keluarga diancam banjir kilat - Utusan Malaysia

30 keluarga diancam banjir kilat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU PINANG 1 Feb. – Lebih 30 keluarga di Jalan Md. Taib dan Kampung Pokok Asam di Jelutong di sini, diancam banjir kilat setiap kali hujan apabila kawasan tersebut didakwa dijadikan kawasan ‘takungan air’ oleh pemaju projek perumahan mewah berhampiran.

Kawasan kampung itu yang terletak kira-kira 50 meter dari projek perumahan mewah itu sebelum ini tidak pernah dilanda banjir kilat, namun kelmarin air naik sehingga ke paras betis walaupun hujan hanya kira-kira 30 minit.

Masalah itu dikatakan berpunca daripada tindakan pemaju projek perumahan mewah yang meninggikan paras jalan projek perumahan mewah itu melebihi 0.9 meter lebih tinggi daripada paras lantai rumah-rumah penduduk sedia ada di kawasan berkenaan.

Tindakan pemaju itu didakwa telah menyebabkan kawasan rumah penduduk bertukar menjadi kawasan takungan air setiap kali hujan melanda.

Seorang wakil penduduk, Muzaidy Mohd. Ali, 41, berkata, masalah penduduk kampung itu telah diajukan kepada Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Datuk Ar. Yew Tung Seang; Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer namun sehingga kini masalah tersebut masih gagal diselesaikan.

“Sejak tahun lalu, lapan surat aduan dihantar kepada Datuk Bandar mengenai tindakan pemaju yang menaikkan paras jalan di kawasan ini.

“Malangnya tiada tindakan diambil sehingga berlakunya banjir kilat kelmarin kerana air tidak dapat mengalir ke kawasan sepatutnya,” katanya di sini hari ini.

Muzaidy berkata, pemaju menambak tanah di situ untuk membina rumah-rumah mewah di paras yang tinggi dan membiarkan rumah penduduk sedia ada menjadi kawasan takungan air.

“Majoriti penduduk di sini adalah warga emas, pasti setiap kali hujan mereka terpaksa berdepan banjir kilat dan menyukarkan penduduk,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Sal­miah Hussin, 80, berkata, dia telah menghuni kawasan ber­kenaan sejak lebih 70 tahun lalu dan kawasan itu tidak pernah dilanda banjir.

“Hanya setelah pemaju menambak jalan untuk membina rumah mewah kami terpaksa berdepan dengan banjir.

“Pihak berkuasa mesti me­ngambil tindakan dengan me­ngarahkan pemaju mengorek semula jalan yang ditambak sehingga ke paras asal iaitu sama dengan paras lantai rumah penduduk,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×