KUALA LUMPUR 1 Feb. – Hari ini adalah detik yang akan dikenang oleh penyerang Brunei, Adi Said apabila dia bukan sahaja meledak gol pertamanya dalam Liga Malaysia (Liga M), malah jaringan pantasnya membantu UiTM FC memulakan kempen Liga Perdana dengan membenam PDRM 3-1 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.
Adi, 28, hanya memerlukan 20 saat untuk membuka akaun gol bersama pasukan baharunya itu sebelum menambah satu lagi gol untuk skuad kendalian Ismail Zakaria.
Berbaki enam minit perlawanan, gawang PDRM bocor lagi selepas Robert Waly Lopez melakukan sepakan lencong untuk mengelirukan Willfred untuk gol ketiga UiTM FC.
Gol saguhati PDRM pula diperoleh menerusi sepakan penalti yang disudahkan Lee Chang-hoon pada minit terakhir perlawanan.
Menanti UiTM FC selepas ini adalah pendatang baharu Liga Perdana, Perlis di tempat sendiri manakala PDRM dijadual bertemu Negeri Sembilan. – UTUSAN ONLINE











