Kaitan ekonomi dengan harta pusaka - Utusan Malaysia

Kaitan ekonomi dengan harta pusaka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ramai orang bertanya apakah kaitan antara ekonomi dengan harta pusaka. Macam tiada kena mengena saja. Sebenarnya ia ada kaitan yang sangat signifikan.

Pada 2017, menteri yang bertanggungjawab menyatakan nilai harta pusaka tertunggak iaitu harta pusaka yang belum diselesaikan pewarisannya mencecah sehingga RM70 bi­lion. Ini termasuk hartanah yang gerannya masih di atas nama si mati, wang tunai dan pelbagai bentuk harta yang lain.

Jika wang tunai di bank yang tidak dituntut, nilainya mungkin tidak meningkat kerana akaun simpanan dan akaun semasa kebiasaannya tiada sebarang mudharabah diberikan bank, hartanah yang masih di atas nama si mati nilainya mungkin akan melonjak berlipat kali ganda kerana pembangunan di kawasan sekelilingnya.

Tanah pusaka yang dulunya terletak di tengah hutan, kini mungkin dikelilingi lingkaran lebuh raya atau bangunan pencakar langit di tengah ibu kota. Tanah pusaka yang 30 tahun lepas mungkin hanya bernilai beberapa ribu ringgit, hari ini sudah pun bernilai jutaan ­ringgit.

Saya pernah berjumpa kes yang tanah pusakanya tidak diuruskan sejak kematian arwah bapa pada 1980-an. Anak-anak tidak mengambil inisiatif untuk menguruskan pusaka itu kerana sibuk bekerja dan tiada pe­ngetahuan apa yang perlu dibuat. Tanah bendang itu kini terletak di belakang sebuah pasar raya antarabangsa. Nilainya yang dulu hanya sekitar RM10,000 kini telah pun mencecah RM3 juta !

Yang menjadi lebih parah, kalau dulu waris-waris yang berhak ke atas tanah itu hanyalah lima orang anak, kini waris yang terlibat ialah seramai 37 orang. Kenapa? Kerana anak-anak sebagai waris asal telah meninggal dunia dan kini cucu cicit mereka pula adalah waris yang terlibat.

Kes Kampung Baru

Ambil contoh Kampung Baru di Kuala Lumpur sebagai satu kes klasik harta pusaka yang menghadapi cabaran dari segi pewarisannya sejak sekian lama. Walaupun banyak usaha diambil oleh pelbagai pihak berwajib termasuk waris, namun ia tetap tidak mudah untuk diuruskan. Jumlah waris yang ramai menyebabkan permuafakatan sukar dicapai.

Memang nilai hartanah di situ tinggi tetapi kegagalan menguruskan pewarisan dengan baik menyebabkan nilainya tidak sebaik nilai hartanah yang mengelilinginya. Pergi ke kawasan itu dan kita dapat melihat kewujudan rumah-rumah kayu ­usang dikelilingi bangunan gah seperti KLCC. Walaupun hanya berjarak beberapa kilometer tetapi perbezaan nilainya ibarat langit dengan bumi.

Urusan pusaka bukanlah seperti pilihan raya kecil yang mana pemenang diisytiharkan berdasarkan siapa dapat undi terbanyak. Urusan pusaka memerlukan permuafakatan dan kerjasama semua waris. Jika ada seorang sahaja waris yang tidak bersetuju dengan kaedah penyelesaian yang dicadangkan, maka urusan akan menjadi lambat, memakan kos yang mahal dan dalam kebanyakan keadaan mewujudkan rasa tidak puas hati sesama waris.

Percayalah, ingin memuafakatkan sehingga 50 orang wa­ris memerlukan kesabaran tinggi dan kemahiran yang amat luar biasa. Saya pernah melaluinya!

Jika berlaku keadaan seperti di Kampung Baru, adakah negara akan kerugian dari segi ekonomi? Tentunya semua pihak berkepentingan rugi. Waris rugi kerana harta yang bernilai tinggi itu terbeku dan tidak menyumbang apa-apa manfaat kepada mereka. Negara juga rugi kerana tiada hasil cukai atau pendapatan lain yang boleh dijana dari hartanah tersebut.

Harta pusaka yang beku

Dalam keadaan ekonomi yang semakin mencabar hari ini, kita memerlukan segala sumber yang ada untuk menggembleng ekonomi diri dan juga negara. Nenek moyang kita kaya berharta tetapi kita sebagai waris miskin kerana harta ini tidak boleh dimanfaatkan. Maka, terpaksalah kita bermula dari ‘sifar’ untuk mengumpul kekayaan sendiri.

Bayangkan bagaimana im­paknya jika RM70 bilion nilai harta pusaka yang terbeku ini dapat diselesaikan dan disuntik semula ke dalam ekonomi negara. Pastinya ia akan menjadi sangat signifikan. Tanah milik nenek moyang boleh diusahakan oleh cucu cicit untuk projek pertanian atau ternakan, atau lebih baik lagi boleh dibangunkan untuk projek perumahan.

Wang di bank boleh digunakan sebagai modal untuk berniaga atau untuk kebajikan waris-waris. Harta pusaka ini sebenarnya boleh dioptimumkan sebagai modal untuk melonjak ekonomi waris dan negara.

Tetapi malangnya daripada pemerhatian dan pengalaman 20 tahun saya terlibat di dalam industri perancangan harta dan pengurusan pusaka di Malaysia, saya dapati masih ramai yang menganggap harta pusaka sebagai isu remeh dan picisan.

Kita gagal untuk memahami hakikat bahawa walau banyak manapun harta yang kita kumpulkan sepanjang kehidupan, ia tidak memberi sebarang manfaat kepada waris jika tidak dirancang dengan baik semasa hidup.

Kita buta dari realiti bahawa harta yang kita miliki hari ini boleh menjadi pemangkin ekonomi keluarga dan negara. Kita kaya berharta tetapi waris miskin menderita. Fikir-fikirkan.

 

NOTA PENGARANG:

Ariffin Sabirin adalah pengasas Wasiyyah Shoppe Sdn. Bhd., bermula hari ini akan menulis mengenai industri pengurusan harta pusaka yang telah diceburinya sejak 20 tahun lalu dalam ruangan Ekonomi Mawarith ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×