‘Terengganu – Land of cyclist’. Nama julukan itu bukan lagi pelik bagi mereka yang mengenali atau mencintai sukan kayuhan yang mengaitkan basikal dengan Terengganu, sebaliknya kedua-duanya begitu sinonim.
Tidak keterlaluan jika dikatakan Terengganu dan berbasikal berpisah tiada. Sebagai bukti sejak dahulu lagi Terengganu terkenal dengan aktiviti berbasikal tanpa mengenal peringkat usia. Oleh itu, tidak hairanlah negeri ini melahirkan bintang serta jaguh basikal negara bertaraf dunia.
Nama-nama besar seperti Azizulhasni Awang atau `The Pocket Rocketman’, Anuar Manan dan Ratu Pecut Wanita negara, Fatehah Mustapa mengharumkan nama Terengganu dan Malaysia di persada dunia.
Kehebatan mereka cukup terserlah yang tidak perlu dipertikaikan lagi. Malah, mereka diangkat sebagai ikon buat negeri kelahiran dan Malaysia.
Atas pencapaian itu juga, aktiviti kayuhan di Terengganu terus kekal relevan, digemari dan menjadi kegilaan rakyat negeri itu dari segenap lapisan atau peringkat usia.
Tidak kira sama ada kalangan buruh kasar atau pekerja am sehingga ke taraf profesional, kenamaan atau golongan atasan, aktiviti ini amat popular.
Beriadah dengan amalan gaya hidup sihat selain mementingkan hubungan kekeluargaan dan ukhuwah tanpa mengira darjat dan keturunan menjadi pegangan sebuah kelab basikal, Terengganu Heritage Cycling Team (THCT).
Bermula dengan hanya empat pengayuh seawal kelab itu ditubuhkan pada 2013, kini keahlian sudah mencecah 35 orang yang kebanyakannya dari sekitar Kuala Terengganu selain Kuala Nerus dan Marang.
THCT diasaskan oleh Allahyarham Engku Harif Engku Mohd. pada 2013 dan atas semangat serta sokongannya yang meninggal dunia pada November tahun lalu, kelab berkenaan masih utuh dan unggul sehingga ke hari ini.
Selain Datuk Tengku Farok Tengku Abdul Jalil selaku penaung di samping Datuk Rozi Ibrahim sebagai Pengerusi THCT, kelab itu juga turut ditunjangi seorang lagi individu penting iaitu Tengku Hamidi Tengku Hashim yang menggalas tanggungjawab sebagai setiausaha kelab.
Menurut Tengku Hamidi, 53, THCT mempunyai keunikan tersendiri apabila ahlinya disertai pelbagai golongan dan status tanpa ada protokol.
“Sejak mula ditubuhkan hingga sekarang, kami sentiasa tekankan hubungan silaturahim sesama kami. Tidak kira siapa, walaupun kerja sebagai mekanik, tukang paip sehinggalah yang ada gelaran, tiada protokol sebaliknya sentiasa mesra sebagai satu keluarga.
“Malah, kita tidak asingkan diri dengan kelab-kelab basikal lain di negeri ini. Kami sentiasa jalin hubungan akrab termasuk dengan Wisma Darul Iman Cycling Comunity (WDICC) yang turut disertai Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Penerus Cycling Team (PCT),” katanya.
Pada masa ini jelas beliau, terdapat 98 buah kelab berbasikal di seluruh Terengganu yang kebanyakannya lebih menampilkan aktiviti road bike dan selebihnya MTB yang lebih kepada kayuhan mencabar serta lasak atau off road.
Kebiasaannya pada setiap hujung minggu sama ada pagi Jumaat atau Sabtu, ahli THCT tidak pernah melepaskan peluang membuat kayuhan sejauh kira-kira 20 kilometer bermula dari Gong Kapas menghala ke mana-mana arah selatan atau utara Terengganu.
Sertai pelbagai program berbasikal
Rekod kayuhan paling jauh dicatatkan kelab berkenaan yang lebih tertumpu kepada Mountain Bike (MTB) adalah sehingga ke Dungun sejauh kira-kira 80 kilometer dan ke Kuala Berang, Hulu Terengganu sejauh kira-kira 40 kilometer.
“Lazimnya kami juga akan bergerak antara 18 hingga 20 orang pada setiap hujung minggu dengan jarak perjalanan sejauh lebih 100 kilometer pergi balik Kuala Terengganu-Dungun.
“Kami juga pernah menyertai program Kayuhan Muhibah dari Perlis ke Hadyai, Thailand pada 2016 dan ketika itu kami berbasikal bersama-sama Ketua Polis Perlis.
“Selain itu, kami juga mencatat pencapaian terbaik ketika usia penubuhan kelab hanya setahun pada 2014 apabila muncul kelab pertama tiba di hutan simpan Hulu Dungun dan kami dapat lihat lebih dekat pokok cengal gergasi sebesar 13 pemeluk,” ujarnya.
Tengku Hamidi menyifatkan aktiviti kayuhan yang disertainya bersama rakan-rakan sama ada daripada THCT atau PCT sebagai ‘terapi’ dalam usaha mengekalkan kesihatan diri demi kesejahteraan keluarga.
“Memang saya akui kayuhan adalah terapi buat kami dan melambatkan penuaan. Aktiviti ini juga boleh menghilangkan sakit pinggang, lutut dan boleh menggembirakan mereka yang menghidap penyakit darah tinggi atau diabetes,” jelas beliau.
Selain itu tambahnya, aktiviti kayuhan serta jelajah menelusuri jalan tar atau berbukit memberi suatu kepuasan dan kenikmatan tersendiri dan akan diteruskan selagi terdaya. Apa yang pasti, aktiviti ini tidak sekali-kali mengganggu waktu solat.











