KUALA LANGAT 1 Feb. – Seramai 11 daripada 14 individu di Tanjung Sepat, Kuala Langat yang mengalami gejala demam dan sakit sendi selepas pulang dari Hatyai, Thailand disahkan menghidap penyakit Chikungunya.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Langat telah melaksanakan pengesanan kes secara aktif sehingga semalam dan mendapati seramai 14 pesakit yang mempunyai gejala Chikungunya telah dikesan.
“Hasil pemeriksaan lanjut yang dilakukan mendapati 11 daripada mereka telah disahkan menghidap penyakit Chikungunya, bagaimanapun setakat ini kejadian masih terkawal.
“Tindakan kawalan dan pencegahan penyakit Chikungunya iaitu pemusnahan tempat pembiakan nyamuk dan aktiviti semburan kabus telah dilaksanakan di sekitar kawasan Tanjung Sepat oleh pejabat kesihatan daerah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Noor Hisham menasihatkan supaya mana-mana individu yang mempunyai gejala demam dan sakit sendi terutama penduduk di kawasan Tanjung Sepat segera dapatkan rawatan lanjut di fasiliti kesihatan yang berdekatan.
“Orang ramai diminta melaksanakan langkah pencegahan seperti membersihkan persekitaran bagi mencari dan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk aedes di kediaman dan premis masing-masing setiap minggu. Mereka juga disarankan menggunakan semburan aerosol bagi membunuh nyamuk dewasa di dalam rumah.
“Kita menasihatkan orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian ini,” ujarnya.
Semalam, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Selangor telah mengesan beberapa individu daripada penduduk di Tanjung Sepat, Kuala Langat di sini mengalami simptom demam dan sakit sendi sejak Rabu lalu.
Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr. Khalid Ibrahim berkata, simptom tersebut dialami kumpulan penduduk berkenaan yang pulang daripada lawatan ke Hatyai, Thailand sejak akhir Disember tahun lalu. – UTUSAN ONLINE










