11 penduduk disahkan hidap Chikungunya - Utusan Malaysia

11 penduduk disahkan hidap Chikungunya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Seramai 11 daripada 14 individu di Tanjung Sepat, Kuala Langat yang mengalami simptom demam dan sakit sendi selepas dikatakan pulang dari Hatyai, Thailand disahkan menghidap penyakit Chikungunya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya telah melakukan tindakan kawalan dan pencegahan penyakit itu dengan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk dan aktiviti semburan kabus di sekitar kawasan Tanjung Sepat.

Katanya, buat masa kini kejadian tersebut adalah terkawal.

“Penyakit Chikungunya adalah disebabkan virus Chikungunya disebarkan oleh nyamuk Aedes, iaitu jenis nyamuk yang sama menyebarkan penyakit Denggi.

“Pesakit dijangkiti Chikungunya akan mengalami demam, ruam, sakit badan dan sakit sendi yang boleh menggangu pergerakan pesakit,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Khalid Ibrahim berkaitan kejadian demam dan sakit sendi dalam kalangan penduduk di Tanjung Sepat, Kuala Langat selepas pulang dari Hatyai, Thailand.

Noor Hisham menegaskan, orang ramai boleh mengambil langkah pencegahan penularan virus tersebut seperti sentiasa membersihkan persekitaran mereka, menggunakan ubat pembunuh jentik-jentik dan memasang jaring nyamuk.

Jelas beliau, masyarakat terutama di Tanjung Sepat yang mengalami simptom demam dan sakit sendi juga dinasihatkan mendapatkan rawatan lanjut di fasiliti kesihatan berdekatan.

“Kita berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian ini.

” Maklumat situasi semasa Chikungunya boleh didapati di laman Facebook CPRC – Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya.

Terdahulu Kosmo! Online melaporkan sekumpulan penduduk di Tanjung Sepat, Kuala Langat dekat sini dikesan mengalami simptom demam dan sakit sendi selepas pulang daripada lawatan ke Hatyai, Thailand sejak akhir Disember tahun lalu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×