IPOH 1 Feb. – Polis menumpaskan satu kumpulan penjenayah yang aktif melakukan kegiatan pecah dan samun kedai telekomunikasi dikenali ‘Geng Wan Bomba’ susulan penahanan tiga lelaki dalam tangkapan berasingan di Ipoh dan Gerik baru-baru ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Yahya Abdul Rahman berkata, ketua kumpulan itu yang merupakan bekas anggota bomba berusia 39 tahun ditahan di sebuah rumah di Jalan Kuala Kangsar Ahad lalu manakala dua lelaki berusia 33 dan 34 tahun yang merupakan penganggur dan bekas anggota tentera pula diberkas di Gerik, Selasa lalu.
Katanya, tangkapan terhadap mereka susulan laporan polis bersabit kes pecah kedai telekomunikasi di Desa Naga Kanthan di sini yang membabitkan kecurian 70 buah telefon bimbit bernilai RM107,000, 22 Januari lalu.
“Berikutan kes tersebut, kita telah membuat tujuh tangkapan berasingan membabitkan lapan lelaki dan dua wanita di beberapa kawasan di daerah ini, Batu Gajah dan Gerik.
“Daripada kesemua tangkapan berkenaan, dua wanita dan lima lelaki yang ditahan itu dikenal pasti sebagai pembeli hasil barang curi tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.
Menurut Yahya, hasil tangkapan kesemua suspek, pihak polis telah berjaya merampas semula 60 buah telefon bimbit dan sebuah komputer riba.
Katanya, soal siasat terhadap ketiga-tiga lelaki itu juga mengakui mereka terlibat dalam dua kes samun kedai telekomunikasi di Jalan Raja Chulan, Kuala Kangsar pada 10 Januari lalu membabitkan kerugian berjumlah RM10,000 dan kes di Kampung Muhibbah, Sungai Siput pada 17 Januari lalu dengan nilai kerugian sebanyak RM48,000.
“Kesemua suspek ditahan reman sehingga esok dan siasatan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











