ALOR SETAR 1 Feb. – Sebelum ini, Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar adalah antara individu paling lantang membantah Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang disifatkan hanya untuk memeras duit rakyat dan menzalimi mereka.
Bak kata bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Mahfuz adalah ‘pejuang berani mati’ mansuh AES selain sering menyeru orang ramai untuk tidak membayar saman tersebut dan membuat demonstrasi membantah sistem itu.
Hari ini, setelah Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan, perjuangan Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu untuk melihat AES dimansuhkan nampaknya tidak menjadi kenyataan.
Sebaliknya, sistem tersebut dikekalkan malah ditambah lagi kamera AES di Lebuh Raya Utara Selatan dengan kos RM200,000 setiap kamera iaitu lebih mahal daripada zaman kerajaan terdahulu iaitu RM170,000.
Ramai ternanti-nanti apa pendirian Mahfuz yang kini sudah bergelar Timbalan Menteri Sumber Manusia berhubung isu berkenaan.
Adakah sudah ‘halal’ atau sistem tersebut tidak lagi memerah duit rakyat.
Desakan sama turut disuarakan oleh Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Kedah, Syed Mohd. Johan Rizal Syed Unan Mashri yang menggesa Mahfuz segera menyatakan pendirian dalam isu itu.
Katanya, jika dahulu Mahfuz sanggup menghasut orang ramai supaya tidak membayar saman AES, adakah kali ini beliau berani bertindak demikian?
“Mudah sahaja, minta nyatakan pendirian bersetujukah kerajaan mengekalkan AES atau kini perjuangan untuk memansuhkan sistem berkenaan sudah berubah.
“Jangan kecewakan rakyat yang mungkin ada dalam kalangan mereka memilih anda (PH) untuk melihat sistem ini dihapuskan. Dan Mahfuz perlu nyatakan pendirian,” katanya. – UTUSAN ONLINE









