Saya memang MB pilihan Azmin, tapi... - Utusan Malaysia

Saya memang MB pilihan Azmin, tapi…

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM 1 Feb. – Setelah lama namanya dikaitkan sebagai ‘budak’ Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, termasuklah dalam isu berhubung pelantikkannya sebagai Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, akhirnya tampil membuka mulut hari ini.

Tidak melatah dengan persepsi itu, Amirudin secara terbuka mengakui yang beliau sememangnya dipilih Mohamed Azmin untuk mengisi jawatan Menteri Besar, tetapi pemilihannya dibuat melalui proses dan sistem, selain turut mendapat restu daripada parti.

“Untuk rekod, selepas akad sumpah ada kenyataan dari Istana Selangor yang menjelaskan kronologi. Keduanya, kenyataan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menyebut bahawa Pakatan Harapan memilih melalui proses.

“Prosesnya memang saya dipilih oleh Azmin dan parti akhirnya ambil keputusan terakhir hantar dua nama iaitu saya dan seorang lagi tetapi akhirnya istana pilih saya…

“Jadi bercakap saya hanya pilihan Azmin, benar tapi separuh masuk… Yang benarnya saya dipilih melalui proses menerusi kebijaksanaan istana di atas restu parti,” katanya dalam sesi Bicara Minda di Kompleks Karangkraf, di sini hari ini.

Pemilihan Amirudin sebagai Menteri Besar Selangor dilihat pemerhati politik sebagai isyarat kekuatan pengaruh Mohamed Azmin dalam PKR kerana berjaya mengetepikan Dr. Idris Ahmad yang merupakan calon mesra Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Amirudin diketahui umum memiliki hubungan politik yang rapat dengan Mohamed Azmin dan walaupun tidak begitu agresif berbanding ahli kemnya yang lain, tetapi Menteri Besar itu diketahui sebahagian daripada pasukan Menteri Hal Ehwal Ekonomi tersebut. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×