JELEBU 1 Feb. – Tiga sekeluarga nyaris maut selepas kereta pacuan empat roda Toyota Hilux yang dinaiki mereka terbabas di Kilometer 46.5, Jalan Seremban-Simpang Pertang, berhampiran Kampung Petasih, di sini hari ini.
Ketua Polis daerah, Deputi Superintenden Kamarul Rizal Jenal berkata, pemandu kereta, Teng Man Hin, 56, cedera di kepala dipercayai akibat tercampak keluar kenderaan itu yang dalam perjalanan dari Kuala Klawang menuju ke Simpang Pertang.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.55 pagi itu, katanya, penumpang kereta, Wong Ngut Loy, 57, dan Teng Siao Tian, 5, dihantar ke Hospital Jelebu dekat sini untuk pemeriksaan.
“Siasatan awal mendapati kenderaan itu hilang kawalan ketika melalui selekoh di tempat kejadian dan terbabas sendiri memasuki longkang,” katanya, di sini hari ini.
Sementara itu, Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBDP) Simpang Pertang, Irwan Hairul Shah Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.58 pagi dan mengerahkan lapan anggota ke lokasi.
“Sebaik tiba, anggota mendapati pemandunya sudah tercampak keluar manakala dua lagi mangsa termasuk seorang kanak-kanak dipercayai cedera,” katanya.
Tambahnya, pihaknya turut menemukan beberapa barangan termasuk daging khinzir yang dibeli untuk sambutan Tahun Baharu Cina yang menjelang tiba. – UTUSAN ONLINE










