Kilang proses ayam diarah tutup 14 hari - Utusan Malaysia

Kilang proses ayam diarah tutup 14 hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU SELANGOR – Sebuah kilang memproses ayam dekat sini diarah tutup selama 14 hari bermula semalam setelah didapati melakukan pencemaran sungai dan gangguan bau busuk kepada 4,000 orang penduduk sekitar.

Kilang yang telah beroperasi sejak 1994 itu didapati melakukan pencemaran dengan melepaskan air sisa berwarna hitam dan berbau busuk melalui sebatang sungai di Kampung Gumut, Mukim Kalumpang, Hulu Selangor.

Yang Di Pertua Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), Shukri Muhamad Hamim berkata, tindakan penutupan sementara kilang tersebut dilakukan susulan daripada satu operasi bersepadu yang dilakukan pada 10 Januari lalu.

“Hukuman ini dilakukan setelah pihak kami mendapat banyak aduan daripada penduduk setempat dan ternyata setelah menyiasat kami dapati aduan tersebut benar.

“Bukan kami mahu tutup terus kilang tersebut, tapi kami mahu pihak kilang bertanggungjawab dan memenuhi serta mematuhan syarat dan masalah utama diatasi segera,” katanya kepada pemberita selepas Operasi Bersepadu MDHS dekat sini hari ini.

kilang ayam
Kolam takungan kilang memproses ayam yang kotor menyebabkan gangguan bau busuk kepada penduduk sekitar. Foto oleh ABD. RAZAK AID

 

Operasi tersebut turut melibatkan beberapa agensi lain antaranya Syarikat Air Selangor, Jabatan Veterinar serta Lembaga Urus Air Selangor (LUAS).

Jelas Shukri, pihaknya mendapati kolam kilang tersebut tidak diselenggara dan pelepasan air melimpah kerana saiznya agak kecil berbanding kapasiti kilang tersebut.

“Kalau hari hujan, memang kolam terbabit akan melimpah, pihak kilang sepatutnya membesarkan kolam mereka, limpahan tersebut akan memberikan kesan kepada kawasan kampung yang berada hanya 300 meter dari kilang.

“Sebelum ini pihak kami telah mengeluarkan beberapa notis sebelum tindakan penutupan sementara ini dilakukan. Notis peringatan juga telah diberi kepada mereka.

“Pihak kilang perlu menyerahkan semua dokumen sedia ada dan mematuhi syarat yang telah dikeluarkan pihak MDHS, sekirnya kilang tidak melakukan sebarang tindakan selama tempoh 14 hari ini, pihak kami akan membawa masalah ini kepada pihak mahkamah,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×