Amanah Kelantan pertikai pelantikan Azmin - Utusan Malaysia

Amanah Kelantan pertikai pelantikan Azmin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 1 Feb. – Parti Amanah Negara (Amanah) negeri ini membantah pelantikan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Pengerusi Majlis Tindakan Negeri (MTNg) Kelantan sebagaimana diumumkan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya, semalam.

Biro Politik Amanah negeri yang mengadakan mesyuarat khas di sini malam tadi turut meminta Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) bersuara bagi pihak mereka untuk mendesak supaya keputusan melantik Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi dikaji semula.

Ketua Pemuda Amanah negeri, Hazmi Hassan berkata, dalam mesyuarat khas itu, mereka mencapai kata sepakat bahawa PH perlu kembali kepada persetujuan asal antara parti-parti, iaitu Amanah adalah parti yang menggalas tugas menerajui Kelantan dan Terengganu.

“Demi kesepakatan antara parti-parti dalam PH, diharap pelantikan ini dikaji semula kerana konsensus dicapai sebelum ini sudah meletakkan Amanah untuk menerajui Kelantan dan Terengganu.

“Konsensus itu dicapai oleh Majlis Presiden PH sendiri dan kita berharap ia dihormati demi kestabilan PH pada masa depan,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Pengumuman Mohamed Azmin sebagai Pengerusi MTNg Kelantan agak mengejutkan kerana nama pemimpin yang disebut-sebut bakal dilantik jawatan tersebut ialah Naib Presiden Amanah iaitu Datuk Husam Musa.

Susulan pengumuman tersebut petang semalam, Biro Politik Amanah negeri ini mengadakan mesyuarat tergempar pada sebelah malam dan merancang mengadakan sidang akhbar sejurus selepas itu.

Bagaimanapun sidang akhbar itu ditunda kepada hari ini sebelum dibatalkan pada saat-saat akhir atas sebab-sebab tidak dapat dielakkan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×