SHAH ALAM 1 Feb. – Perbuatan tiga buah premis menjual pelbagai barangan tiruan secara terbuka sejak setahun lalu di sekitar daerah ini dan Klang akhirnya terhenti apabila Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor melakukan serbuan semalam.
Dalam serbuan kira-kira pukul 3 petang itu, KPDNHEP Selangor berjaya merampas 410 barangan tiruan antaranya pakaian, beg, jam dan aksesori dianggarkan bernilai RM9,724.
Antara barangan cap dagangan yang dirampas melibatkan pelbagai jenama seperti Puma, Burberry, Michael Kors dan Tommy Higfiger.
Ketua Pegawai Penguatkuasanya, Azman Adam berkata, hasil aduan dan risikan maklumat daripada wakil cap dagang terlibat, pihaknya telah melakukan serbuan di premis tersebut yang menjalankan kegiatan tidak bertanggungjawab mengaut keuntungan tanpa mengikut prosedur yang sah.
“Pemeriksaan mendapati, peniaga tanpa berselindung menjual kesemua barangan tiruan ini secara terbuka.
“Malah, harga barangan yang dijual juga lebih rendah berbanding produk asal bagi menarik perhatian pelanggan mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah beliau, hasil siasatan mendapati sebuah premis di Klang yang diserbu telah banyak kali diserbu, namun tidak serik menjual barangan tiruan.
“Kita percaya selain mampu mengaut keuntungan dengan cara mudah, terdapat permintaan tinggi warga setempat terhadap barangan tiruan tersebut menjadi faktor kedegilan peniaga.
“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 8(2)(b) Akta Perihal Dagangan 2011 yang memperuntukkan hukuman sehingga RM15,000 bagi setiap barangan untuk pertubuhan. Manakala, bagi individu penjara sehingga tiga tahun atau denda tidak melebihi RM10 bagi setiap barangan tiruan atau kedua-duanya sekali,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











