KUALA SELANGOR – Padah menimpa kepada dua pemilik lembu apabila dikenakan kompaun kerana membiarkan haiwan tersebut memasuki kawasan laluan awam dan perumahan di daerah ini, baru-baru ini.
Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Rahilah Rahmat berkata, kompaun itu dikenakan menerusi Operasi Bersepadu Pemantauan dan Penangkapan Lembu di sekitar kawasan Bestari Jaya dan Jeram pada 23 Januari lalu.
Katanya, kawasan tersebut menjadi lokasi utama kemalangan maut antara pengguna jalan raya dan haiwan ternakan seperti lembu.
“Sewaktu operasi dilakukan didapati, pemilik haiwan itu tiba-tiba muncul bagi menghalau lembu-lembu mereka bagi mengelakkan haiwan tersebut ditangkap MDKS.
“Kita telah mengeluarkan serta-merta kompaun kepada pemilik haiwan tersebut mengikut Seksyen 4(1) Enakmen Mengawal Lembu Kerbau 1971 yang boleh didenda sehingga RM200,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau memberitahu, MDKS turut mempunyai kuasa mengurung haiwan ternakan yang ditangkap di suatu tempat khas.
Ujarnya, pemilik kemudiannya boleh menuntut dan mendapatkan semula haiwan berkenan setelah membayar kos perbelanjaan bagi tangkapan, kurungan dan makanan haiwan itu.
“Berdasarkan Seksyen 13 Enakmen yang sama memperuntukkan kuasa kepada MDKS menjalankan pendakwaan ke atas pemilik dan penjaga haiwan di mahkamah.
“Justeru, orang ramai digalakkan menyalurkan sebarang aduan berkaitan perkara itu kepada MDKS menerusi
laman web selangor.spab.gov.my atau menghubungi 03-32891439,” katanya. – K! ONLINE











