KUALA TERENGGANU 1 Feb. -Kementerian Kesihatan digesa menarik balik pelaksanaan Skim Perlindungan Nasional B40 (mySalam) dan Skim Peduli Kesihatan (Peka B40) berikutan timbul banyak tanda tanya berhubung bantuan baharu yang diperkenalkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) itu.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, penarikan buat sementara waktu itu wajar sehingga beberapa perkara berkaitan pengurusan dan operasi dapat dijelaskan secara terperinci kepada semua pihak.
Lebih mengecewakan katanya, ramai dalam kalangan pemegang taruh sektor kesihatan termasuk pihak Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan Konvensyen Saintifik Tahunan Persekutuan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia (FPMPAM) tidak dirunding terlebih dahulu dan bersetuju dengan skim tersebut.
“Skim mySalam melibatkan syarikat operator takaful luar negara (Singapura) dan berkait dengan polisi Bank Negara Malaysia (BNM). Jumlah RM2 bilion sumbangan Great Eastern Takaful Bhd. ke dalam skim ini menimbulkan tanda tanya dan mengapa kerajaan perlu membayar kadar premium sebanyak RM112 setiap individu kepada pihak syarikat?
“Bagaimana sebenarnya perjanjian antara kedua-duanya? Adakah Great Eastern telah mengaut laba yang besar dalam skim ini?” soalnya dalam kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











