Pemuda OKU miliki nurseri pokok sendiri - Utusan Malaysia

Pemuda OKU miliki nurseri pokok sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU PINANG 1 Feb. – Siapa sangka dengan bantuan dan kursus yang diberikan melalui program Latihan Pekerjaan Orang Kurang Upaya (OKU) Intelek yang dijalankan oleh Universiti Sains Malaysia (USM), seorang pemuda OKU kini mampu memiliki nurseri pokok yang diusahakan sendiri di Kubang Kerian, Kelantan.

Muhammad Najmi Uddin Nasri, 25, seorang OKU yang menghadapi masalah pembelajaran mengikuti latihan tersebut sejak setahun lalu dan berjaya menjana pendapatan sendiri sekitar RM3,000 sebulan hasil jualan pelbagai jenis pokok di nurseri berkenaan.

Menurut bapanya, Nasri Awang Ahmat 52, anak sulungnya itu memang berminat dengan tumbuh-tumbuhan sejak dari kecil lagi.

“Saya dapat tahu mengenai program yang dijalankan oleh USM di Kubang Kerian ini menerusi seorang rakan.

“Saya hantar anak saya ke situ dan amat bersyukur kerana dengan bantuan serta latihan yang diberikan menerusi program ini anak saya telah mampu berdikari,” katanya selepas menghadiri majlis pengiktirafan tamat latihan program latihan OKU intelek di USM di sini hari ini.

Pada majlis itu Muhammad Najmi Uddin dinobatkan sebagai pelatih terbaik program berkenaan bersama seorang lagi pelatih, Muhamad Irwan Helmi Idris, 20.

Selain mereka berdua, 41 pelatih turut diraikan dalam majlis berkenaan yang dihadiri oleh Naib Canselor USM, Prof. Datuk Dr. Asma Ismail dan Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Fazari Mohd. Salleh. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×