PETALING JAYA 1 Feb. – Tiga rakan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mendatangkan kecederaan parah terhadap seorang lagi rakan mereka, November tahun lalu.
Goh Chin Lai, 59, Wang Week Fok, 40, dan Lim Kea Chuong, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka selesai dibacakan di hadapan Hakim Azwarnida Affandi.
Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh dengan sengaja menyebabkan cedera parah kepada Tam Wei Tong, 42, dengan memukul mangsa di kepala, muka, tangan dan kaki menggunakan buku lima, besi dan kerusi.
Mereka didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah premis di Jalan Puteri 1/4, Bandar Puteri Puchong dekat sini pada pukul 9.45 malam, 20 November tahun lalu.
Ketiga-tiga tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan. – UTUSAN ONLINE.










