SHAH ALAM – Seramai 1,606 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri Selangor akan bertugas sepanjang sambutan perayaan Tahun Baru Cina termasuk melakukan rondaan di kawasan kerap kemalangan di negeri ini.
Timbalan Pengarahnya, Hassan As’ari Omar berkata, rondaan tersebut akan melibatkan 10 anggota dan pegawai bersama dua jentera daripada tujuh buah zon berasingan melibatkan sembilan daerah di negeri ini.
Katanya, setiap pasukan akan melakukan tugas secara giliran selama 12 jam melibatkan dua syif bermula Selasa lalu hingga 12 Februari depan.
“Kawasan yang dikenalpasti adalah di sekitar Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) melibatkan laluan dua-dua arah di KM 405-410 dari Tanjung Malim ke Lembah beringin dan KM 413-419 Lembah Beringin ke Bukit Tagar.
“Berdasarkan siasatan sebelum ini kemalangan berpunca akibat letih dan mengantuk. Kita akan bersiap siaga bagi menghadapi kemungkinan dalam operasi pemadaman dan penyelamatan,” katanya kepada pemberita di Ibu pejabat JBPM Selangor di Bukit Jelutong di sini hari ini.
Beliau turut menjelaskan pemfokusan juga dilakukan terhadap kawasan rekreasi seperti air terjun dan pantai yang menjadi tumpuan ketika cuti umum.
“Justeru, kita ingin menasihatkan kepada masyarakat supaya sentiasa mengambil berat tanda-tanda fenomena kepala air seperti air bertukar keruh dan kehadiran sampah secara tiba-tiba.
“Jika ternampak akan tanda-tanda ini, segera naik ke darat sebagai langkah keselamatan,” katanya. – K! ONLINE











