SHAH ALAM 1 Feb. – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor akan meningkatkan kadar rondaan keselamatan di sepanjang lebuh raya sempena sambutan Tahun Baharu Cina Selasa depan.
Timbalan Pengarahnya, Hassan As’ari Omar berkata, rondaan itu akan dilakukan sehingga 12 Februari bertujuan memudahkan kerja menyelamat sekiranya berlaku kecemasan selain mempercepat masa untuk tiba ke lokasi.
“Dua jentera termasuk Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) akan melakukan rondaan membabitkan seramai 10 anggota dan pegawai.
“Anggota dan pegawai yang bertugas terdiri daripada tujuh zon berasingan melibatkan sembilan daerah di negeri ini. Mereka akan bersiap sedia bagi menghadapi kemungkinan dalam operasi pemadaman dan penyelamatan,” katanya kepada pemberita di Ibu pejabat JBPM Selangor di Bukit Jelutong di sini hari ini.
Dalam pada itu, tambah Hassan As’ari, selain mempertingkatkan rondaan di lebuh raya, pihaknya juga mengambil langkah melakukan kawalan di kawasan-kawasan rekreasi yang menjadi tumpuan masyarakat.
“Rondaan di kawasan rekreasi seperti air terjun dan pantai sering menjadi tumpuan ketika cuti umum. Kita telah kenal pasti beberapa kawasan yang sering menjadi tumpuan, oleh demikian bagi memastikan kesiapsiagaan kawalan keselamatan akan dilakukan bermula hari ini sehingga 10 Februari.
“Kita ingin menasihatkan kepada masyarakat supaya sentiasa mengambil berat tanda-tanda fenomena kepala air seperti air bertukar keruh dan kehadiran sampah secara tiba-tiba. Jika ternampak akan tanda-tanda ini, segera naik ke darat sebagai langkah keselamatan,” ujarnya.
Tambahnya, sempena perayaan Tahun Baharu Cina juga, seramai 1,606 anggota dan pegawai bomba dibekukan cuti sebagai persediaan jika berlaku sesuatu kes. – UTUSAN ONLINE











