100 anggota APM Negeri Sembilan terlibat Op Bantu 18 - Utusan Malaysia

100 anggota APM Negeri Sembilan terlibat Op Bantu 18

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN 1 Feb. – Seramai 100 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan terlibat dalam Op Bantu 18 bagi membantu pengguna jalan raya semasa cuti Tahun Baharu Cina kali ini.

Pengarah APM negeri, Leftenan Kolonel (PA) Fazlisyah Muslim berkata, mereka terdiri daripada anggota dari tujuh pejabat APM daerah yang dibahagikan kepada dua waktu tugasan harian iaitu pukul 8 pagi hingga 4 petang dan 4 petang hingga 8 pagi.

“Pelaksanaan Op Bantu 18 terbahagi kepada dua fasa iaitu pada 3 hingga 4 Februari dan 9 hingga 10 Februari.

“Ia bertujuan membantu pengguna jalan raya sama ada di jalan Persekutuan atau negeri yang mengalami kecemasan sepanjang perjalanan balik ke kampung dan pulang semula ke bandar sempena musim perayaan.

“Pelbagai jenis kenderaan dan logistik akan digerakkan antaranya kenderaan pacuan empat roda, ambulans dan lori tiga tan bagi melancarkan operasi tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Fazlisyah berkata, sepanjang Op Bantu tahun lalu, pihaknya telah memberi bantuan kepada 55 mangsa yang melibatkan 22 kes kecemasan iaitu kemalangan ringan (tiga kes), kenderaan rosak (11) dan tayar pancit (8).

Seramai 2,040 anggota dari 12 pejabat APM negeri bertugas dalam operasi kali ini melibatkan 51 laluan yang telah dikenal pasti di seluruh negara. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×