Peningkatan 16% penumpang di KLIA, KLIA2 - Utusan Malaysia

Peningkatan 16% penumpang di KLIA, KLIA2

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 1 Feb. – Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) menjangkakan peningkatan hampir 16 peratus pergerakan penumpang yang melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 pada tempoh puncak bermula hari ini hingga 13 Februari depan.

Ketua Pegawai Eksekutif MAHB, Raja Azmi Raja Nazuddin berkata, peningkatan itu membabitkan kira-kira 196,000 penumpang setiap hari ini.

Dalam mendepani peningkatan berkenaan jelasnya, MAHB akan bekerjasama rapat dengan pihak-pihak berkuasa dengan menempatkan lebih banyak sumber-sumber berkaitan di lapangan pada tempoh masa terbabit.

“Antara langkah yang akan diperkukuhkan oleh MAHB termasuk menguruskan peningkatan aliran lalu lintas di kawasan menurunkan dan mengambil penumpang atau ‘kerbside’.

“Kami akan terus menguatkuasakan had masa pengambilan dua minit untuk mengelakkan kesesakan dan mengingatkan penumpang agar tidak meletak secara haram di sepanjang jalan utama kerana ia akan membahayakan pengguna lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Raja Azmi menjelaskan, MAHB telah menjalinkan kerjasama dengan pihak polis, imigresen dan kastam bagi memastikan perjalanan yang selamat dan lancar untuk penumpang yang menggunakan KLIA dan KLIA2 pada perayaan Tahun Baharu Cina serta musim cuti sekolah kini.

Beliau berkata, MAHB juga telah meningkatkan bilangan tenaga kerja untuk memastikan ‘kerbside’ dikendalikan dengan sebaik-baiknya pada sepanjang masa bagi memastikan aliran trafik yang lancar.

Menurutnya, sebanyak 5,000 ruang parkir disediakan di tempat meletak kereta jangka panjang (LTCP), yang mana 30 minit pertamanya adalah percuma.

Beliau menambah, MAHB turut menasihatkan penumpang untuk menggunakan kiosk layan diri bagi pendaftaran dan meletakkan beg yang dilihat menjimatkan masa.

“Dengan penambahan pagar automatik oleh pihak imigresen baru-baru ini, saya percaya ia akan memendekkan masa menunggu bagi semua penumpang kami.

“Sebanyak 10 pagar automatik baru dipasang awal bulan lepas menggantikan enam unit sebelumnya di Balai Perlepasan Antarabangsa. Pagar-pagar ini dilengkapi teknologi biometrik terkini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×