KUALA LUMPUR 1 Feb. – Seorang jurujual warga Indonesia dihukum penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret Ampang dekat sini hari ini atas pertuduhan mencederakan seorang anggota polis trafik yang sedang bertugas ketika sekatan jalan raya, bulan lalu.
Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Nasir Saalun, 28, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang dihadapinya.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada seorang penjawat awam di Persiaran Pandan Jaya, Pandan Indah, Hulu Langat di sini pada pukul 10.30 pagi, 22 Januari lalu.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan
Timbalan Pendakwa Raya, Norhashimah Hashim mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.
Terdahulu, Nasir yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan dia menanggung keluarga termasuk ibunya, bagaimanapun pihak pendakwaan memohon hukuman penjara setimpal dengan mengambilkira tertuduh sengaja bertindak demikian kerana ingin mengelak daripada ditahan oleh mangsa yang sedang menjalankan tugas.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara itu berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 22 Januari lalu. – UTUSAN ONLINE.










