KOTA BHARU – Seorang lelaki meninggal dunia dipercayai mengalami serangan jantung semasa membuat kerja amal memotong rumput di kawasan jalan di Kampung Keling, Limbat di sini pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi, mangsa, Mazlan Hashim, 40-an, atau dikenali sebagai Pok Teh pada mulanya bergotong-royong membersihkan kawasan jalan tersebut.
Dia menyertai kerja amal tersebut bersama-sama 10 orang lagi penduduk kampung bermula kira -kira pukul 8 pagi.
Menurut seorang rakannya yang ingin dikenali sebagai Awie, 30, berkata, mangsa sebelum itu sempat bergurau dengan rakan lain seperti biasa ketika memotong rumput.
“Tiba-tiba Pok Teh rebah dan pitam kira-kira pukul 10 pagi. Kami semua mengangkatnya dan memanggil namanya banyak kali tetapi dia tidak sedarkan diri.
“Kami terus menelefon talian kecemasan dan beberapa minit kemudian mangsa telah diberikan bantuan kecemasan oleh Unit Kecemasan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya. – K ONLINE.











